Teks & Foto : Nazzim
Perairan di Pulau Labuan sememangnya kaya dengan hasil laut yang mampu membuatkan pemancing sering tersenyum lebar apabila bertandang ke sini. Kali ini, penulis dijemput menyertai trip yang dikelolakan oleh Johari Jamil selaku head tester daripada Team Expert Graphite yang terdiri daripada Faizal Nizam, Kaizer, Firdaus, Hidayat, Ajid Wagas dan Diana dengan misi menguji produk terbaru iaitu rod dan kekili keluaran Expert Graphite.
Usai mendarat setelah dua jam menaiki kapal terbang dari Semenanjung, kami dijemput oleh Tekong Haji Nasir dan dibawa menginap di apartmen yang diuruskan olehnya tidak jauh dari Jeti Labuan. Apartmen milik Haji Nasir ini memang disediakan khas untuk pemancing yang menggunakan khidmat beliau. Masa yang ada, kami menyiapkan semua peralatan memancing sebelum berjuang keesokan paginya.
Team Expert Graphite : Dari kiri Faizal Nizam, Firdaus, Hidayat, Johari Jamil, Ajid Wagas dan Kaizer. |
Tekong Haji Nasir mendapat double hook bersama merah celoreng dan kerapu dengan menggunakan teknik bottom. |
Bot Fibre 30 kaki berkuasa dua enjin 115 kuasa kuda bersedia untuk beraksi. Bot ini mempunyai deck untuk dua orang di bahagian dalam dan tandas. Sangat selesa. |
Hidayat bersama kerapu sunuh saiz hidang menggunakan rod Expert Graphite Independance PE 0.8-2.5 memang layan. |
Ajig Wagas mempertaruhkan jig Ima Gunpeki 60gram berpuas hati bersama kerapu bara anggaran sekilo. |
Kaizer bersama trofi kerapu sunuh nya. |
Saya berpuas hati dengan ikan landok. |
Ajid Wagas bersama Amberjack yang menjadi buruan kaki pancing. |
Firdaus mendapat spesies yang sama kerapu pulut anggaran 3 kg. |
Ikan trompet menjadi hiburan kami di sini. Meski bermulut kecil, tetap gelojoh membaham jig. |
Faizal Nizam bersama kerapu berskala 2kilo. Padanan rod Expert Graphite Mirage p.e 0.8 - 1.5 amat membantu menarik ikan ini keluar daripada batu karang. |
KERAPU KARANG LUAS
Seawal jam 4 pagi kami bersiap untuk turun ke jeti memandangkan pertukaran masa di Labuan lebih awal berbanding Semenanjung. Kami mula bergerak ke spot pertama iaitu kawasan karang luas. Jarak pancingan sejauh 35 batu nautika mengambil masa satu jam bersandarkan enjin bot kembar 115 kuasa kuda. Menurut Haji Nasir, target utama di sini ialah spesies kerapu sunuh dan kerapu bara. Jig yang disarankan sekitar 40 g - 80 g.Tiba di spot karang luas, kami mulai mengunjun jig. Tidak menunggu lama Hidayat mendapat sambaran pertama iaitu kerapu bara berskala 1kg dengan padanan rod Expert Graphite Independence kekuatan pe 2.5 dengan teknik slow jigging.
Tidak lama, Kaizer dan Firdaus pula mendapat sambaran di spot yang sama. Ternyata kawasan batu karang ini penuh dengan spesies kerapu. Teknik slow jigging dengan menggunakan jig 40 g hingga 60 g amat efektif di sini.
Sedang saya tekun mengunjun jig besi di bahagian hadapan bot, kedengaran suara riuh rendah di belakang bot. Rupanya Johari Jamil mendapat sambaran padu yang datang dari dasar. Kelihatan di permukaan air seekor ikan kerapu anggaran 7 kg yang agak jarang ditemui.
Menurut Tekong Haji Nasir, spesies ini dikenali sebagai kerapu pulut oleh penduduk tempatan dan ikan ini tergolong antara ikan gred A selain harganya agak mahal di pasaran. Tidak beberapa lama selepas itu, Firdaus pula menerima strike daripada spesies sama dengan anggaran berat 3 kg.
Setelah seharian mengunjun jig, hasil tangkapan kami amat memuaskan dengan tangkapan kerapu bara dan kerapu tikus memonopoli hasil tangkapan. Jam sudah menunjukkan pukul 5 petang, lantas tekong bersuara menyarankan kami untuk pulang ke jeti dan meneruskan aktiviti memancing pada keesokan harinya.
Keesokannya, tekong membawa kami ke spot berdekatan pelabuhan iaitu kawasan kapal karam. Di sini target utama kami ialah kerapu ‘tong gas’. Tekong menyarankan kami melepaskan jig besi setelah hon bot dibunyikan untuk mengelakkan jig tersangkut di atas kapal karam ini.
Setelah mendapat kedudukan yang sesuai, Faizal Nizam menjadi orang pertama mendapat tarikan padu daripada dasar. Selang beberapa minit, seekor kerapu anggaran 2 kg tewas menyerah diri. Sang kerapu nampaknya tidak berdaya melawan padanan rod Expert Graphite Mirage PE 0.8 - 1.5.
Tangkapan terbesar trip ini. Firdaus dengan ebek kapak seberat 9 kg. Rekod peribadi baginya. |
Triple Strike ebek kapak. Kelam kabut dibuatnya melayan ikan ini bila strike serentak. |
PESTA EBEK KAPAK
Setelah kami jauh berhanyut dan tiada sambaran daripada penghuni dasar, tekong menyarankan kami berpatah balik kepada kedudukan asal tadi. Selang beberapa minit jig kami mencecah dasar, tiba-tiba seorang demi seorang mendapat tarikan padu.Tidak semena-mena, bagai pesta suasana kami di atas bot apabila triple strike berlaku. Firdaus mendahului dengan ebek kapak berskala 9 kg hasil padanan rod pink Expert Graphite Genius PE1-3 diikuti oleh Hidayat dan Johari Jamil.
Masing-masing mendapat strike daripada ebek kapak yang cukup terkenal dengan larian spool outnya. Setelah berhempas pulas bertarung, kelihatan wajah kepuasan terpancar pada setiap team Expert Graphite ini. Hasilnya, sebanyak 8 ekor ebek kapak tewas pada hari itu tanpa sebarang masalah. Terbuktilah jenama mampu milik ini tidak kurang hebatnya dan ternyata lasak sepanjang trip di Labuan ini.
Jam menunjukkan tepat pukul 1 petang, menandakan tamatnya aktiviti light jigging setengah hari kami di perairan Labuan. Meskipun hanya 2 hari di perairan Labuan, namun pengalaman bertarung dengan spesies ikan di sini sememangnya satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan
Darel Tan pemilik kedai Geo Fishing Tackle yang mesra pelanggan |
Bergambar kenangan di hadapan kedai sebelum pulang ke semenanjung. |
PULANG SEMENANJUNG
Sebelum pulang ke semenanjung, kami sempat singgah di kedai pancing di Kota Kinabalu iaitu Geo Fishing Tackle. Kedai yang serba lengkap dengan barangan pancingan laut dan sungai ini diusahakan oleh Darel Tan. Darel merupakan seorang yang berpengalaman dalam dunia pancing di Malaysia serta cukup dikenali di sini.Daya penarik di kedai ini ialah harga barangan yang ditawarkan murah dan berpatutan berbanding kedai lain selain pemiliknya yang cukup peramah dengan pelanggan dan tidak lokek ilmu. Banyak pengalaman yang dikongsi kepada kami. Pesan Darel Tan kepada kami, jika berpeluang pergilah memancing ke luar negara kerana banyak lagi spesies ikan yang kita tidak belum rasa kekuatannya setelah menceritakan pengalamannya ke Amazon sebelum ini.
Bagi penulis, jika ada rezeki dan berpeluang semestinya tidak menolak untuk merasa sendiri tarikan spesies di luar negara. Hari ini penulis baru berpeluang sampai ke Labuan, mana tahu esok atau lusa ke luar negara pula. Apa pun, Labuan sememangnya terbaik bah!
Comments