MASAHIRO ADACHI – IDEA GENIUS DI SEBALIK DUO



Teks : Paez     
Foto : Nazzim



Di sebalik kejayaan sesebuah jenama terkemuka, terdapat figura yang menyumbangkan idea dan usaha tanpa rasa jemu. Begitu juga dalam perkembangan dunia memancing, gabungan kreativiti, kerjasama dan kehalusan kerja cukup penting dalam menaikkan nama sesebuah jenama untuk dianggap berjaya. 


Masahiro Adachi bersama Martin Bakos, pengurus jualan antarabangsa bagi DUO.

 

MASAHIRO ADACHI DAN DUO

Bagi peminat sukan memancing mengilat, khususnya yang berpandangan ke negara Matahari Terbit, pasti kenal dengan nama DUO. DUO merupakan salah sebuah syarikat yang mengeluarkan gewang atau umpan tiruan yang cukup terkenal dengan seni kehalusan kerjanya. Produk DUO telah berjaya menembusi pasaran global hari ini dan menjadi antara jenama yang dipercayai oleh kaki pancing.

Di sebalik kejayaan DUO menembusi pasaran global sehingga menjadi antara jenama pilihan kaki pancing, Masahiro Adachi merupakan antara figura yang bertanggungjawab membawa DUO ke tahap hari ini sejak 20 tahun dahulu. Idea genius dan kreativiti beliau diterjemahkan dalam bentuk gewang yang dapat kita lihat pada hari ini.
 .



Saya sempat bergambar kenangan bersama Masahiro Adachi sewaktu kunjungan beliau ke Malaysia.

Masahiro Adachi merupakan pengasas bersama DUO. Bersama Mr. Matsushita, mereka telah menubuhkan syarikat DUO hasil usaha dan kepakaran mereka dalam mereka bentuk gewang. Adachi telah mula mereka bentuk gewang daripada kayu sejak berusia 12 tahun hasil daripada minat mendalam. Sehingga kini, beliau diakui merupakan antara pereka gewang yang genius, teliti dan mengujakan.

Apa yang menariknya, menurut Adachi, dia mereka bentuk gewang tanpa pelan rekaan atas kertas atau menggunakan perisian komputer. Setiap rekaan dimulakan dengan idea dan kreativiti yang diinspirasikan melalui pengalaman dan minatnya. Begitu pun, ketelitian gewang rekaannya turut mengambil kira aspek keberkesanan dan gaya renangan.


 Kebolehan mereka gewang yang berkualiti Adachi sudah diakui di serata dunia.

 Gewang DUO memang memperlihatkan ciri ketelitian dan kehalusan reka bentuknya.

Gewang DUO yang cukup halus pembuatannya.






 Masahiro Adachi dan rakanya Martin Bakos sempat bergambar bersama produk DUO di Fishmax Tackle baru-baru ini.


INFO DUO

-Ditubuhkan pada tahun 1995 oleh Hisahiro Matsushita.
-Masahiro Adachi merupakan pereka bentuk gewang DUO yang sangat berbakat ketika itu.
-DUO merupakan antara jenama terkemuka di Jepun, khususnya dalam penghasilan produk umpan tiruan.
-Masahiro Adachi terkenal dengan rekaan gewangnya yang mengekalkan kualiti renangan selain ketelitian, kecantikan dan kehalusan dalam setiap rekaan gewangnya.
-Pada tahun 2011, produk DUO merangkumi 250 jenis model dan terjual lebih 15 juta unit di seluruh negara.
- Selain gewang, DUO juga memperkenalkan beberapa aksesori untuk kaki pancing seperti topi, tshirt, life jacket dan sebagainya.

Comments