Slow Jigging Kapal Karam Melaka

Teks: Mohd Hazrizal
Foto: Ayie


Mengambil nama sempena nama Kerajaan Melayu Melaka ketika pada zaman kegemilangannya, Selat Melaka muncul sebagai laluan perkapalan tersibuk dan terpanjang di dunia. Di kalangan kaki pancing pula, Selat Melaka adalah lubuk terbaik menjengah jenahak, kerapu dan ikan lain melalui kaedah moden slow jigging. Di negeri Melaka sendiri, telah muncul beberapa tekong bot yang menyediakan pakej memancing secara fully jigging, antaranya Jimmy Chen.   

Cuaca cukup cantik sebaik sahaja saya tiba lewat petang sehari lebih awal di Melaka untuk trip slow jigging. Dua minggu sebelum itu, saya menerima ajakan daripada Chong, tauke kedai Fishmax Tackle yang terletak di Bukit Tinggi, Klang, untuk slow jigging di perairan negeri Melaka. 

Malam harinya sementara menantikan Chong yang lewat tiba, saya bersama Nazzim dan jurufoto, Ayie terlebih dahulu pekena asam pedas tidak jauh dari hotel penginapan. Memang rugilah, kalau datang ke sini, kalau tak rasa asam pedas original Melaka ni. 

Angin kuat

Awal pagi, kami bertemu Chong di lobi hotel, termasuklah Peter, Felmon Soon dan tekong Jimmy Chen. Sebelum bertolak ke jeti, kami bersarapan terlebih dahulu di kedai makan berhampiran hotel selain ‘tapau’ bekalan makan tengah hari serta kudapan untuk mengisi perut ketika di atas bot nanti.

Sebaik sahaja keluar jeti, laut agak beralun disebabkan angin yang agak kuat. Nun di atas, awan hitam kelihatan tanda hujan akan turun. Dalam keadaan bot terhuyung hayang semasa menurunkan jig, mujurlah ia tidak lama. Angin yang bertiup telah menurunkan hujan di kawasan daratan.

Tidak menunggu masa yang lama, unjunan jig dari Nazzim diragut selepas dia yang berhasrat mahu menaikkan jig untuk menukar kepada jig lain. Sayangnya ketika mahu menaikkan ke atas, talang besar berjaya melepaskan diri. Mungkin di sebabkan jig berkenaan hanya terlekat sedikit sahaja pada mulut talang berkenaan.

Ujar Jimy, dia menyasarkan spot karang sahaja pada sebelah pagi sebelum ke spot kapal karam. Ini kerana beberapa tompok karang dan kawah telah banyak ditemuinya dan dia berhasrat mahu kami mencuba di spot-spot berkenaan.

Selain itu, beberapa spot karang tinggi juga kami uji, di mana di satu lubuk ini Chong yang berada di belakang menerima satu sambaran dan keputusannya, tiada masalah untuk dia menaikkan seekor alu-alu. Felmon Soon yang berada di belakang turut berjaya menaikkan kerapu saiz hidangan. 

Walaupun trip slow jigging tidak menetapkan sebarang ikan sasaran, janji ikan makan jig, tetapi dalam list utama kebanyakan kaki slow jigging perairan Pantai Barat Semenanjung sudah pastilah si ikan jenahak, kerapu mahupun tenggiri menjadi sasaran. Begitu jugalah dengan kami.

Bonus sekiranya berjaya menaikkan saiz mama dan ‘tong gas’. Begitu juga bonus tambahan sekiranya berjaya menaikkan GT, merah, sagai, alu-alu dan sebagainya. Semuanya bergantung pada kepakaran tekong mencari spot dan kerajinan si pemancing mengaplikasikan jigging serta tuah sama ada naik atau tidak ikan berkenaan.   

Pada pengamatan saya, tekong Jimmy memang memiliki banyak spot. Dia juga rajin dan cepat menukar lubuk, sekiranya di sesuatu spot berkenaan tidak berhasil. 5-10 minit jika tiada sebarang sambaran, dia akan segera menukar lubuk.

Kerap juga Jimmy bercerita tentang pengalaman mereka menduga lubuk-lubuk sekitar Melaka dalam trip-trip terdahulu. Chong pula, meskipun terkenal dengan mulut becoknya bila berada di atas bot, dia sering memberi tunjuk ajar kepada rakan yang lain, terutama cara jigging serta bertindak sebagai skipper memberi petunjuk kepada rakan lain terutama yang berada di depan bilamana timing yang betul menurunkan jig.

Sedekah jig kapal karam

Menghampiri jam 4 petang, cuaca masih lagi terik, walaupun Jimmy mengatakan dua hari sebelumnya, Melaka asyik hujan berserta angin kuat sebelah petang. Cuaca pada waktu itu cukup terik memaksa sebotol demi sebotol air mineral dingin yang dicampurkan dengan pati oren Sunquick diambil untuk menghilangkan tenaga. Tidak terkecuali sambil berjigging, buah tembikai yang menjadi pemanis mulut dan buah-buahan wajib dibawa setiap kali turun ke laut.

Seperti yang dijanjikan, Jimmy membawa kami ke spot kapal karam. Ujarnya, terdapat enam spot koordinat kapal karam berselerakan sekitar perairan Melaka berada dalam simpanannya. Awal-awal lagi, Jimmy berkata spot ini kerap menghampakan ramai para jigger kerana kerap kali kes tersangkut jig berlaku.

Memang tidak dinafikan, spot kapal karam memang lubuk ikan, tetapi jika tidak tepat jatuhan ataupun unjunan jig sudah tersasar memang 99.99 peratus jig akan sangkut di bawah sana. Nasib kami, petang arus sudah bertukar agak laju. Sukar untuk meletakkan jig dengan tepat ketika bot sedang drift.

Akibatnya beberapa ketul jig menjadi tukun di bawah sana. Dalam situasi tersebut, masih ada strike dan habuan buat kami, apabila beberapa ekor kerapu berjaya didaratkan. 3 jenahak juga berjaya dinaikkan oleh Chong, Nazzim dan Jimmy. Penulis pula hanya memperoleh seekor talang menjelang senja, pengubat kumpau sebelum trip sehari jigging di Melaka berakhir sekitar jam 7.50 malam.        
 


Bot Jimmy yang berpangkalan di jeti Marina Melaka.

Tekong Jimmy Chen
Bot yang selesa untuk 5-6 orang jigger dalam satu masa.

Strike padu...Padanan kekili Maxel dan rod Deep Liner memang lentok.



Strike baracuda oleh Felmon Soon

Kawasan ini memang menjadi laluan kapal yang sibuk.

Rod daripada Expert Graphite Tukato long fall 7’3” PE 3

Antara warna jig Shimano sinonim dengan spesies target bersisik ini.
Kerapu saiz hidangan daripada Peter.

Paras purata kedalaman perairan Melaka.




Pengubat duka penulis. Satu-satunya talang yang berjaya dinaikkan dalam trip ini. 

Antara hasil yang diperolehi oleh Choong dalam trip sebelum ini.

Jig besi daripada jenama Maxel memang killer!

Antara hasil yang diperolehi oleh Choong dalam trip sebelum ini.

Antara hasil yang diperolehi oleh Tekong Jimmy Chen dalam trip sebelum ini.

Ujian lapangan

Untuk trip ini, kami hanya menggunakan pelbagai jenis saiz dan warna jig Maxel, Shimano dan juga Xesta. Memang tidak dinafikan, apabila jig buatan Taiwan dan Jepun ini begitu ampuh dan telah pun terbukti menewaskan sang jenahak dan kerapu perairan kita.


Shock leader Expert Graphite Hammer 20lb dan 30lb digunakan tidak memberi masalah untuk membuat ikatan FG selain amat kuat.

Saya juga menguji dua batang rod slow jigging Expert Graphite iaitu Hammer Head 6’3” PE 2.5 dan Tukato long fall 7’3” PE 3. Hammer head memiliki hujung rod yang lembut untuk membuat unjunan jig seberat 250 gram tetapi mantap di pangkal untuk mengepam naik ikan. Tukato long fall pula begitu memudahkan unjunan aksi jig, tanpa perlu melakukan banyak aksi karauan. 

Comments