RASENGAN TERJAH KAMPUNG BENG

Teks : Paez    
Foto : Paez dan Juara Tackle


Sejak kebelakangan ini, Tasik Kampung Beng yang terletak di Lenggong memang menjadi buah mulut di kalangan kaki pancing terutama kaki mengilat. Saban minggu, ada sahaja kaki pancing yang berkunjung ke sini untuk menduga pelbagai spesies ikan seperti peacock bass (PB), toman, sebarau dan lain-lain. Selain kaya dengan pelbagai spesies ikan pemangsa, keadaan tasik yang mempunyai banyak suak kecil ini membuatkan lokasi terpencil ini mendapat gelaran “Mini Amazon”.

Reputasi “Mini Amazon” ini turut menarik ramai pemancing dan tester produk memancing untuk menjadikan Kampung Beng sebagai spot lapangan ujian. Tidak terkecuali ialah produk Rasengan Limited, produk gewang yang semakin menjadi rebutan di kalangan caster-caster tegar.

Gewang Rasengan Limited semakin mendapat permintaan di kalangan kaki pancing. Dengan talaan warna dan sentuhan cat kemasan baru, gewang Rasengan Limited ini menjadi produk fenomena kaki casting untuk dijadikan koleksi mahupun gewang killer. Tambahan pula, keluaran gewang ini secara terhad menambahkan lagi keunikan Rasengan ini.

DUGA POTENSI RASENGAN
Trip Rasengan Expedition ke Kampung Beng kali ini sebenarnya lebih kepada menguji potensi gewang Rasengan dalam menggoda spesies ikan pemangsa. Dek kerana lapangan tasik dan suak di sini dikatakan semakin menggila dengan PB kebelakangan ini, maka spesies ikan cichlid ini menjadi target buruan utama untuk digoda menggunakan gewang Rasengan.

Tugasan menguji potensi dan kemampuan gewang Rasengan pula digalas oleh tujuh orang caster iaitu Papai, Justin, Luffy, Mie, Hassan, Faiz dan Syafiq. Rumah inap konsep homestay milik Abang Roslan yang terletak di Kampung Beng menjadi tempat menginap sepanjang trip berlangsung. Malah, Abang Roslan turut bertindak sebagai tekong trip ini. Trip sehari setengah ini digunakan sepenuhnya dengan tiga kali sesi boating menjelajah suak-suak di tasik ini.

Tiba seawal jam 4 pagi di Kampung Beng, kesemua ahli trip sempat melelapkan mata seketika sebelum bersedia turun ke gelanggang. Rumah Abang Roslan yang terletak betul-betul berhadapan dengan tasik menambahkan lagi keterujaan kami yang telah siap siaga dengan set pancing masing-masing. Usai sarapan pagi sambil menikmati keindahan Tasik Kampung Beng, kami berpecah kepada dua kumpulan dengan setiap bot dibekalkan dengan gewang-gewang Rasengan yang bakal teruji.

JENGAH SUAK TASIK KG. BENG   
Tidak sampai 5 minit berlepas dengan bot, Abang Roslan singgah di spot pertama. Suak kecil yang dipenuhi samai ini dilihat berpotensi ada penghuni di dasarnya. Apatah sesekali timbul boiling di permukaan air. Beberapa ketul gewang Rasengan meluncur laju bak peluru yang ditembak ke arah samai yang tebal.

Mie yang asyik membuat lontaran ke spot yang sama beberapa kali, tiba-tiba mendapat sambaran pertama yang agak kuat, namun ternyata dia bersedia sepenuhnya dan mengawal asakan pemangsa sebaik mungkin sebelum mendaratkan seekor PB bersaiz 41cm hasil lenggokan gewang Rasengan jenis sinking pencil.

Beralih ke suak berhampiran, Luffy yang menggunakan sinking pencil hasil talaan warna Rasengan tidak menunggu lama untuk menyambung aksi strike seterusnya. Setelah beberapa kali membuat lompatan akrobatik, PB saiz 43cm ini akhirnya tewas.

Belum apa-apa, giliran Syafiq pula datang. Juga dengan gewang Rasengan sinking pencil, hentaman rakus kali ini pula datang daripada seekor sebarau saiz juvenil yang selamat didaratkan. Papai juga tidak ketinggalan mendaratkan seekor PB juvenil.

Beralih ke suak yang lebih jauh, banyak sambaran diperolehi namun beberapa kali rabut, malah mata kail patah akibat sambaran juga beberapa kali terjadi. Hanya beberapa ekor PB juvenil. sahaja berjaya didaratkan sebelum sesi pertama disudahkan oleh Syafiq yang berjaya mendaratkan seekor bujuk yang terpedaya dengan pencil yang ditala dengan warna Tigris daripada Rasengan Limited.

SESI RENTUNG
Sesi kedua yang bermula selepas makan tengah hari bermula dengan agak perlahan. Dengan cuaca yang panas terik, masing-masing rentung apabila tiada sebarang strike sehinggalah Syafiq berjaya memujuk seekor PB sekitar jam 4 petang. Selepas cuaca agak redup, barulah strike semakin rancak apabila hari menuju ke senja.

Hassan dan Justin yang memilih Rasengan Flutter berjaya mendaratkan beberapa ekor PB. Cubaan memujuk mama toman tidak berjaya, hanya beberapa ekor toman jalur yang berebut mahu menjamah gewang. Strike tidak banyak berbanding waktu pagi, namun beberapa ekor PB masih berjaya didaratkan.

Malam itu kesemuanya tidur lena kerana kepenatan, apa lagi Abang Roslan menyediakan menu istimewa kaloi dan tengalan bakar sewaktu makan malam. Memang mencakup. Habis makan malam dan berbual kosong seketika, seorang demi seorang naik mencari bantal.

Keesokannya, sesi terakhir bermula awal pagi. Mungkin kerana penat yang belum hilang, sesi boating kali ini lebih santai. Sekitar jam 9.30 pagi barulah Hassan mendapat strike daripada seekor PB menggunakan Rasengan Flutter. Sesi terakhir ini nyata milik Mie dan Syafiq yang berada dalam satu bot apabila beberapa kali mendapatkan strike yang agak kasar. Beberapa ekor PB sekitar 40cm  berjaya dinaikkan sebelum menamatkan trip Rasengan Expedition ini.
















Comments